السلام عليكم merupakan doa kesejahteraan dan keselamatan yang seharusnya (dibaca semestinya) hendaklah dilafazkan ketika berjumpa sesama muslim. Hukum memberi salam adalah sunat yang diberatkan dan menjawabnya adalah wajib. Teruskan membaca ;~)
Firman Allah swt, Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).
Apakah hikmahnya menyebarluaskan ucapan السلام عليكم itu? Dalam hal ini, salam dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Islam mementingkan gaya hidup yang harmoni berasaskan persamaan dan semangat ukhwah yang utuh. Dalam konteks yang sama, Rasulullah saw. bersabda; “Wahai manusia, berikan salam (ucapan السلام عليكم), berikan makanan, hubungkan silaturahim, kamu akan masuk syurga dengan selamat.’ (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi ).
Dibahagian yang lain, Rasulullah saw. bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Muslimin; “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukannya kamu bersatu padu dan berkasih sayang, iaitu sebarkan ucapan السلام عليكم di antara kamu.” Demikian ajaran Rasullah saw. agar menjadikan salam membentuk ummah bersatu padu.
Bagi menguatkan hujjah kepentingan memberi salam, Ulamak Sufi terkenal, Ibrahim bin Adham mengatakan ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah akan menimbulkan dosa dan malapetaka.
Amalan memberikan salam sesama muslimin itu suatu manifestasi ikatan ukhwah yang mantap bersendikan agama. Bukan saja mendapat ganjaran pahala malahan impaknya sangat positif dalam menimbulkan situasi kehidupan bersosial yang harmonis.
Bentuk amalan sedekah dalam Islam begitu luas. Bukan hanya dengan wang ringgit tetapi juga apa yang boleh mendatangkan manfaat atau kebaikan kepada orang lain dikira sedekah dan pahala. Begitulah Islam, indah dan kecantikannya. Seandainya kita mahu mewujudkan jati diri ummah yang mantap, amalan bersedekah sewajarnya dijadikan budaya hidup. Bersedekah akan mengikis tamak dan hasad dengki, menjadikan bermasyarakat bersatu-padu.
Sabda Rasulullah; “Setiap (pergerakan) sendi tulang manusia itu memperoleh sedekah setiap hari yang disinari matahari: mengadili antara dua orang adalah bersedekah, menolong menaikkan barang ke atas kenderaan seseorang atau menurunkannya adalah sedekah, mengucapkan kata-kata yang baik adalah sedekah, dan setiap langkahmu berjalan ke masjid untuk bersolat adalah sedekah, juga membuang yang menyakiti dari jalan laluan adalah sedekah.” (Maksud Hadis riwayat At-Tabrani dan Ibnu Hibban)
Justeru, mengapakah perlu kita memilih jalan kejahatan, keburukan dan kemaksiatan sedangkan jalan yang dipandukan oleh Allah begitu indah dan terang bersinar.
;~) FAST.
No comments:
Post a Comment