July 07, 2010

AMALAN YANG DIANGGAP SUNNAH DI BULAN REJAB

Hari ini sudah 25 Rejab. Sudah kepenghujung bulan rupanya, patutlah bulan di langit sudah mula menurun. (Biarlah Bulan Bicara Sendiri). Apa lebihnya Rejab berbanding dengan bulan-bulan yang lain ? Mengapa ada orang mula berpuasa pada bulan Rejab, diikuti dengan Syaban dan seterusnya Ramadan,,, wah 3 bulan berturut-turut. Nak tahu,,, teruskan membaca ; ~ )

Rejab pada bahasa membawa maksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab merupakan bulan yang ke tujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang-orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa jua bentuk peperangan didalamnya.

Di dalam hitungan kalendar Islam terdapat dua belas bulan yang mana Allah S.W.T. telah memuliakan empat bulan darinya. Firman-Nya:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. – al-Tawbah (9) : 36

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu” di dalam ayat di atas bermaksud jangan seseorang itu menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman-Nya di atas hanya menunjukkan terdapat empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi s.a.w. ini memperincikan lagi tentang nama bulan-bulan tersebut:
Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan-bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu bulan-bulan Dzulqaedah, Dzulhijjah dan Muharram. Bulan Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Sya’ban. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 4662

Berdasarkan kenyataan di atas, ternyata bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T. Justeru, telah tersebar dalam masyarkat islam di Nusantara terdapat amalan-amalan yang dikhaskan sempena bulan Rejab ini dan ianya memiliki fadilat-fadilat yang besar.

Namun begitu pada hakikatnya tidak terdapat satu dalil pun yang sah menunjukkan terdapat amal-amal ibadah yang tertentu bersempena dengan bulan Rejab. Hal ini telah diperakui oleh tokoh ulamak hadis yang terkenal bernama al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani r.h dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis yang sahih tentang keutamaan bulan Rejab (melainkan ia termasuk bulan-bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada bulan Rejab yang dapat dijadikan pegangan. – Rujuk Muhammad ‘Abdussalam al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada’aat al-Muta’alliqah bi al-Adzkaar wa ash-Shalawaat, (edisi terjemahan dengan tajuk Bidaah Bidaah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta, 2004) ms. 152.

Walaupun begitu tidak terdapat ulamak yang menegah jika kita ingin melakukan amalan baik. Setiap amalan baik akan memberikan kebaikan kepada pembuatnya. Teruskan beramal.

Dipetik daripada beberapa coretan blogger yang lain untuk memudahkan kita berkongsi bersama.

FAST

No comments: