July 24, 2010

Kejayaan Bukan Kegagalan

Kegagalan ialah bila kita belum menemui apa yang kita harapkan. Anda pernah berjaya ? Berapa kali anda telah berjaya dalam hidup? Teruskan membaca, ;~)

Kalau dikira memang banyak kejayaan yang pernah kita lalui. Sesungguhnya lebih banyak kejayaan yang pernah kita kecapi dalam hidup ini berbanding dengan kegagalan. Tetapi terlepas pandang dek kerana kita berada dalam keadaan kegagalan. Maka kegagalan itu telah menghantui fikiran kita. Dari sudut yang lain, Anda pernah gagal? Jangan takut gagal kerana kegagalan akan mendewasakan kita!

Menurut Kamus Dewan: Kejayaan membawa maksud kemenangan atau berhasil mencapai kemajuan dan cita-cita. Kamus yang sama juga mendefinasikan: Kegagalan membawa maksud tidak berhasil atau tidak berjaya mencapai matlamat atau cita-cita yang dikehendaki.

Menurut Pandangan Ahli Falsafah: Kejayaan ialah cara meningkatkan kuasa untuk mendapatkan sesuatu yang kita mahu dalam hidup tanpa mengganggu hidup orang lain. Manakala Kegagalan membawa maksud : Kegagalan hanyalah kekalahan atau ketewasan sementara. Dalam kata lain, belum menemukan apa yang diharapkan.

Kejayaan dan kegagalan sebenarnya membawa makna yang berbeza bagi setiap individu. Bagi sesetengah individu, kejayaan merupakan keinginan yang telah tercapai seperti menjadi kaya raya, mashyur, dan pangkat atau kedudukan. Bagi sesetengah individu pula, kejayaan bermakna kedamaian, keluarga dan kepuasan hati. Seterusnya ada juga individu merasakan diri mereka telah mencapai kejayaan dengan berkhitmat sebagai ahli sukarelawan, guru atau mubaligh. Dalam kata lain, sudah mengecapi kepuasan dalam hidup.

Sesungguhnya dalam kamus mereka yang berjaya menyatakan Tiada istilah GAGAL dalam hidup, hanya yang ada ialah belum berjaya menemui cara untuk mencapai matlamat yang diingini. Apabila kita sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencapai apa yang kita harapkan, tanpa mengambil kira apa hasilnya, sesungguhnya anda telah BERJAYA. Kalaupun anda BERJAYA mencapai apa yang diharapkan itu hanyalah bonus atas usaha Anda.

Kita boleh mendapat pengajaran serta membina akhlak melalui kekalahan. Kita mesti menerima kegagalan tanpa perasaan malu atau aib. Ia hanya merupakan kegagalan sementara dalam kehidupan. Tidak ada salahnya jika mengalami kekalahan sementara. Kegagalan yang sebenar ialah apabila seseorang itu gagal bangkit semula daripada kekalahan yang sementara.

KEGAGALAN dan KEJAYAAN adalah suatu nikmat yang ALLAH swt beri pada kita. Sekali GAGAL bukan bererti GAGAL untuk selamanya. Kehidupan atau peristiwa yang kita lalui dalam hidup ini akan menjadikan kita lebih dewasa, lebih matang, lebih berketrampilan.


Justeru, penting sangat kita ubah cara berfikir untuk jadikan KEGAGALAN sebagai sumber untuk menuju kepada suatu KEJAYAAN. jangan mudah berputus asa, teruskan berusaha, lagi dan lagi hingga kita tiada lagi, untuk mencapai KEJAYAAN dalam apa sahaja yg kita lakukan, InsyaAllah.

Akhirnya, Kejayaan berpunca dari banyak perkara, begitu juga dengan kegagalan. Selagi tak gagal susah nak berjaya. Bila hampir berjaya, berjaga-jaga dari hasad manusia, mohonlah dengan Rahmat Perlindungan daripada Allah. Apabila sampai pada matlamat, beri Rahmat kepada orang lain pula supaya barakah dalam rezeki, barakah dalam kehidupan. Dengan itu dapatlah kita hidup dan mati dengan Rahmat daripada Allah swt.

;~) FAST.

No comments: