July 06, 2010

Sengsaranya Membawa Kebencian


Seorang guru yang mengajar subjek kemahiran hidup kepada pelajar tingkatan satu mengadakan satu permainan atau simulasi. Guru tersebut meminta setiap muridnya membawa satu beg plastik transparan dan mengisikannya dengan pisang yang masak. Jumlah bilangan pisang yang dibawa bergantung kepada jumlah orang yang mereka benci. Pada setiap pisang itu dituliskan dengan nama orang yang mereka benci.

Pada hari yang ditetapkan, semua murid yang mengambil bahagian telah membawa pisang yang telah masak di dalam beg plastik seperti yang disyaratkan. Ada yang membawa dua, ada yang tiga, bahkan terdapat juga murid yang membawa lima biji pisang. Seperti yang diminta oleh guru mereka, setiap pisang diberi nama sesuai dengan nama orang yang mereka benci.

Murid-murid disyaratkan supaya membawa beg plastik berisi pisang-pisang tersebut kemana saja mereka pergi, sama ada ke kantin, surau, makmal, tandas dan sebagainya selama masa satu minggu.

Hari berganti hari, pisang-pisang tersebut telah mulai membusuk. Semua pelajar yang terlibat mulai merasa resah, marah-marah dan mengeluh. Masalah lebih dirasakan kepada pelajar yang membawa lima biji pisang, selain daripada berat, bau busuknya juga tidak menyenangkan.

Setelah satu minggu berlalu, semua pelajar tersebut merasa lega disebabkan kesengsaraan yang mereka lalui akan segera berakhir.



Guru kemahiran hidup bertanya kepada pelajarnya, “Bagaimana rasanya membawa pisang selama satu minggu ?” Keluarlah jawapan yang berupa keluhan dan kekesalan daripada pelajar terlibat. Secara umumnya semua pelajar merasa tidak selesa kerana terpaksa membawa pisang busuk tersebut ke manapun mereka pergi.

Guru itupun menjelaskan kepada pelajarnya apakah erti “permainan atau simulasi” yang mereka lalui. “Seperti itulah juga kebencian dalam kehidupan. Kesengsaraan akan selalu kita bawa apabila kita terus membenci dan tidak mahu memaafkan orang lain. Ianya sangat tidak menyenangkan, sama seperti kita terpaksa membawa pisang busuk kemana pun kita pergi. Itu baru satu minggu. Bagaimana jika kita membawa kebencian bertahun-tahun, apatah lagi kalau ianya kita bawa seumur hidup ? Alangkah tidak menyenangkan.”

Semua pelajar menganggukkan kepala tanda faham dan mengerti akan simulasi kemahiran hidup yang diajarkan oleh gurunya. “Terima kasih cikgu kerana telah mengajarkan kepada kami tentang erti kehidupan”, antara kata-kata yang terkeluar daripada mulut pelajar terlibat.

Agar hidup lebih bermakna, supaya hidup lebih mengembirakan, maafkanlah semua orang yang pernah menyakiti kita. Jangan sia-siakan hidup dengan terus menerus membenci orang lain. Hidup ini tersangat singkat, hidup hanya sekali. Jangan biarkan ianya berlalu dengan sia-sia.

FAST

No comments: