Jawatan yang kita sandang merupakan satu amanah, bukan anugerah. Jika kita ingin melihat sejauh mana benarnya kata-kata yang diungkapkan oleh seorang pemimpin yang amanah, lihatlah pada hartanya, sikapnya dan ibadah khususnya sebelum dan selepas menyandang jawatan. Jika sekiranya hartanya semakin susut (kalaupun ada pertambahan sedikit berdasarkan keperluan), kalau akhlaknya semakin luhur dan menarik, kalau ibadah khususnya (solat malam, baca Al Quran, zikir, puasa sunatnya, doa,munajatnya) semakin khusuk. Ya itu salah satu petanda dia memperalatkan jawatannya untuk melaksanakan amanah. Tetapi jika sebaliknya, itu petanda ia telah “diperalatkan” oleh jawatan yang dianggapnya satu anugerah.
Bila satu jawatan atau tugasan diberikan kepada seseorang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kebinasaannya. Begitu, antara lain maksud hadis Rasulullah SAW. Hati kita tertanya-tanya, siapakah yang bukan ‘ahlinya’ itu dan apakah pula kebinasaan yang bakal berlaku? Persoalan ini menjadi suatu yang sangat kritikal untuk ditangani justeru, disekitar kita sekarang sedang berlaku pelbagai kebinasaan, sama ada yang berbentuk fizikal, seperti bangunan, lebuh raya mahupun insaniah seperti institusi kekeluargaan, penderaan, perdagangan manusia dan sebagainya bagaikan tiada penghujungnya.
Keruntuhan akhlak serta luputnya sifat kemanusiaan bukan sesuatu yang asing lagi. Begitu juga dengan ‘keruntuhan’ tanah, jambatan, lebuh raya, bangunan dan sebagainya. Secara mudah, kita boleh katakan inilah kebinasaan yang telah terjadi dan sekali gus ini juga sebagai petanda semakin ramai yang ‘bukan ahli’ sedang memegang jawatan atau tugasan penting dalam masyarakat.
Suatu kisah untuk dijadikan iktibar, Ketika dicadangkan agar Nabi Musa as. diterima bekerja dalam keluarga Nabi Syuib as, seorang anak gadis Nabi Syuaib as telah meletakkan dua ciri utama sebagai pertimbangan atas usulnya itu – kekuatan (Al Qawwi) dan amanah (amanah). Hal ini diabadikan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“Sesungguhnya orang yang paling baik untuk diberikan kerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” Al Qasas 26.
Kekuatan dalam konteks terkini ialah berilmu dan mempunyai kepakaran dalam bidang kerja yang berkenaan. Manakala amanah pula ialah soal keikhlasan, kejujuran dan ketelusan dalam melaksanakan pekerjaan atau tugasan. Individu yang mempunyai kedua-dua ciri inilah yang dikatakan ‘ahli’ dalam pekerjaan tersebut.
Peradaban manusia menunjukkan sejak dari dahulu lagi usaha melahirkan orang yang berakhlak lebih sukar berbanding melahirkan orang yang bijak. Kebijaksanaan (IQ) boleh diukur dengan ijazah dan kelulusan, tetapi akhlak, sikap amanah (SQ) adalah soal dalaman yang begitu maknawi sifatnya. Namun hanya jauhari mengenal manikam.
Justeru, para pemimpin, guru, majikan, ketua, ibu-bapa dan semua yang 'berakal' mestilah menjadi ‘jauhari’ yang mengenal sifat Al Amin dan Al Qawwi orang bawahannya.
Semoga Allah memberikan kita semua kebijaksanaanNya.
No comments:
Post a Comment