February 24, 2011

NILAI DIRI

RAMAI orang tidak berubah bukan kerana mereka tidak mahu berubah, tetapi mereka tidak nampak keperluan untuk berubah, Kita bagaimana ?, Teruskan membaca ;~)

Secara umumnya ramai orang tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi terlalu sedikit yang melakukan apa yang mereka tahu. Justeru ramai mereka yang sekadar berligar-ligar di pinggir cemerlang dan gagal untuk mencapai kecemerlangan yang sebenar. Kita harus menerima dengan reda setiap perkara yang di luar kemampuan kita untuk mengubahnya, tetapi kita perlu mengubah setiap perkara yang perlu dan mampu untuk kita ubah. Apa yang penting ialah kita harus mempunyai kebijaksanaan untuk membezakan antara perkara yang tidak boleh diubah dengan perkara yang mampu kita mengubahnya.

Salah satu pendekatan untuk mengenal pasti aspek diri yang perlu kepada muhasabah ialah dengan menilai prestasi diri berbanding dengan sifat-sifat kritikal orang yang cemerlang. Para psikologi dan pakar motivasi menggariskan antara sifat penting yang perlu dipunyai oleh orang cemerlang ialah minda yang cerdas dan sentiasa berfikiran positif, badan yang sihat, jiwa yang tenang dan emosi yang kental, iman yang mantap, kawan yang ramai dari kalangan orang yang baik-baik, ekonomi yang kukuh (berkat dan memberkati, mempunyai keluarga yang cemerlang, setiap tindakan dilakukan dengan sebaik mungkin, sentiasa yakin bahawa hari mendatang akan membawa kecemerlangan dan kebahagiaan, sentiasa bermaaf-maafan dan segera bertaubat apabila melakukan kesilapan dan kehidupan yang seimbang (dirumah tangga, tempat kerja dan kegiatan kemasyarakatan.

Carilah masa, berilah peluang kepada diri kita untuk bermuhasabah, berilah peluang kepada diri kita untuk menjadi cemerlang. Secara jujur nilai diri kita berdasarkan sifat-sifat yang dinyatakan tadi. Sebenarnya sifat-sifat tersebut adalah hasil kajian pakar psikologi dalam menilai dan mendalami unsur-unsur kemanusiaan dan tabiatnya. Muhasabah diri dan tanyakan apakah yang bolih kita lakukan untuk memperbaiki diri berdasarkan sifat-sifat berkenaan. Satu rumusan boleh dibuat berdasarkan kajian dan juga pengalaman yang telah dilalui dalam beberapa 'case study' iaitu ramai orang tidak berubah bukan kerana mereka tidak mahu berubah tetapi mereka tidak tahu apa yang perlu diubah atau tak tau bagaimana untuk berubah atau tidak nampak keperluan untuk berubah. Cuba kita renungkan kepada satu peribahsa Cina yang berbunyi, 'siapa yang memuji saya adalah musuh saya. Sesiapa yang menegur kesilapan saya adalah guru saya'. Kebanyakan daripada kita seronok apabila dipuji dan mudah kecil hati apabila ditegur atau dikritik. Kita tidak boleh memperbaiki diri berdasarkan pujian daripada orang lain, tetapi dapat mengoreksi diri apabila mendapat teguran dan kritikan. Justeru kita perlu mengubah paradigma semasa kita dengan merasa seronok dan bersyukur setiap kali diteguran atau kritikan oleh orang lain. Jika hakikat ini dapat kita hayati dan amalkan, kita sebenarnya telah bergerak ke arah pembaikan diri yang berterusan dan insya-Allah orang sedemikian jika mempunyai iltizam yang kuat untuk berubah kepada yang positif dan mantap menghadapi cabaran pasti akan berjaya walau dalam apa keadaan sekalipun. Bersyukur dan berterima kasihlah jika ada orang sudi untuk menegur atau mengkritik kita.


Kajian-kajian menunjukkan hanya orang yang memiliki estim diri yang tinggi, hanya orang yang berjiwa besar sahaja akan lebih terbuka kepada maklumbalas berkenaan dirinya. Penumpuan lebih akan diberikan kepada kritikan berbanding dengan pujian. Apabila mereka dikritik atau ditegur, sikap mereka akan lebih positif terhadap kritikan itu. Sebaliknya orang yang memiliki estim diri yang rendah tidak suka menerima maklumbalas yang negatif tentang dirinya.

Fikir2kanlah, F.A.S.T. ;~)

No comments: