February 07, 2011

POLITIK! APA PANDANGAN ANDA ?

Saya kutip artikel ini daripada coretan seorang ahli SIM (Dr Fauziah) yang saya kira orangnya sangat berhati2 dan saya sangat menghormati pandangan beliau. (Saya berharap beliau sudi berkongsi artikel ini dengan orang lain ~ sbb tuh diletakkan di SIM), Terima kasih Dr Fauziah. Teruskan membaca ;~)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua sahabat dan rakan di SIM,
Ketika saya mengajar subjek Islamic Legal System pada tahun 2006, pelajar saya pernah bertanya soalan, "Dr minat tak politik?", saya menjawab, "saya minat politik kerana politik adalah sebahagian daripada hidup kita. Dan politik juga adalah sebahagian daripada Syariat Islam. Tetapi saya sesekali tidak akan menjadi orang politik dan tidak akan menjadi ahli mana-mana parti politik (sekurang-kurangnya buat masa ini). Saya hanya akan berpolitik semasa mengundi di waktu pilihanraya. dan undi saya adalah rahsia."

Pelajar-pelajar saya terdiam dan ada seorang yang bertanya, "kenapa Dr tak mahu jadi ahli politik?" saya terdiam dan akhirnya saya memberitahu mereka tentang pendirian saya mengenai politik.

"Kalau saya menjadi ahli politik, saya terpaksa melupakan prinsip yang benar itu benar dan yang salah itu salah. Kenapa? sebab mereka yang berpolitik selalunya akan memandang pihak lawan sebagai musuh politik. Orang politik tidak akan mengatakan kebaikan yg dilakukan oleh pihak lawan/pembangkang sebagai kebaikan. Orang politik juga tidak akan mengatakan kesalahan orang-orang di dalam partinya sebagai satu kesalahan. Sedangkan nabi Muhammad mengajar kita, "katakanlah perkara yang benar walaupun pahit."

"Kalau saya menjadi ahli sebuah parti politik, saya mesti memberi taat setia kepada parti tersebut. Sedangkan saya telah dididik oleh ustaz-ustaz saya, pensyarah-pensyarah saya...kalau kita melihat perkara yang salah, walaupun dilakukan oleh sahabat kita, saudara kita..kita mesti mengubahnya, menegurnya. dan kalau kita melihat musuh kita melakukan kebaikan, kita mesti memujinya dan mengatakan perkara itu satu kebaikan. Tapi, kalau saya berani menegur kesalahan org di dalam parti saya, saya akan dianggap sebagai "pembangkang di dalam parti sendiri. saya hanya dianggap sebagai duri dalam daging. Dan akhirnya saya hanya menyebabkan orang-orang di dalam parti berpecah belah."

"Saya juga tidak suka dengan perangai ahli politik. Kebanyakan ahli politik, apabila mereka keluar daripada sesebuah parti, mereka suka mengutuk-ngutuk parti yang telah mereka tinggalkan. Kalau saya masuk politik, saya tidak akan meninggalkan parti tersebut. Saya akan cuba membetulkan parti politik saya dan hanya akan keluar jika disingkirkan dari parti tersebut. Dan kalau saya ditakhdirkan keluar dari parti tersebut, saya tidak akan mengutuk-ngutuk bekas parti saya, kerana mereka pernah menjadi 'keluarga' saya. Saya dididik oleh ustaz-ustaz saya, guru-guru saya... "Apabila kita marah, kenangkanlah kebaikan orang itu kepada kita, dan cubalah ingat keburukan yg pernah kita lakukan kepada orang tersebut.Mustahil di dalam sesuatu perhubungan sesama manusia, tidak pernah ada kebaikan yg dilakukan kepada kita."

Kesimpulannya, saya tidak mahu menjadi ahli parti politik dan tidak sesekali akan menjadi orang politik kerana politik hari ini terlalu kotor. terlalu kejam. Politik hari ini bertentangan dengan prinsip-prinsip hidup yang saya pegang. Tetapi saya akan mengundi dan memilih pemimpin yang paling bersih, yang paling dekat dengan cara politik Nabi Muhammad dan para sahabat. Saya juga akan menyokong kebenaran walaupun ianya datang daripada parti yang tidak pernah saya undi.Saya akan membantu mereka dengan cara saya sendiri asalkan apa yang mereka lakukan memberikan kebaikan kepada Islam dan negara saya.

Akhir kalam, seruan dan nasihat saya...jangan terlalu cepat kita menghukum orang lain hanya kerana kita berbeza pendapat dengan mereka. Jangan kita memaki orang lain dengan panggilan2 yang tidak baik hanya kerana tidak sealiran dengan kita. Mungkin org yang kita katakan tidak baik itu adalah lebih baik daripada kita dari segi amalannya dan hubungannya dengan Allah. Jangan kita menghukum semua orang kerana kesalahan sebahagian daripada orang-orang yang bersama mereka.

Fikir-fikirkan lah. Wassalam Dr fauziah

Dipetik daripada email SIM untuk dikongsikan bersama

F.A.S.T. ;~)

No comments: