Tiga (3) Tiga sifat terpuji dalam rangking teratas yang di tuntut oleh Islam untuk kita mengusahakan dalam diri. Ikhlas, Redha dan Sabar. Teruskan membaca :~)
Tak ramai insan yang bernama manusia mempunyai tiga sifat ini serentak. Sifat
yang perlu ada (wajib diusahakan supaya ada) pada diri untuk terus kuat dan
berjaya dalam mengharungi liku-liku hidup di dunia yang sementara ini bagi
menuju kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat.
1. Ikhlas
Satu sifat yang sukar untuk kita tahu akan kehadirannya. Datangnya tanpa mengetuk pintu. Ikhlas perlu di didik dan dicari pada diri. Ia adalah rahsia di sebalik rahsia Allah swt, nikmatNya yang di berikan kepada insan yang tertentu. Kata ulamak, iklas seumpama seekor semut yang hitam, berjalan di atas batu yang hitam di malam yang gelap gelita. Kita dikehendaki mentaati semua perintah Allah swt. dengan sabar dan tenang, disamping memohon akan keikhlasan daripada Allah swt. Beramallah dengan istiqamah semata-mata kerana Allah, mudah-mudahan akhirnya Allah akan letakkan sifat ikhlas dalam hati kita.
Cubalah kita renung-renungkan seketika. Apakah reaksi kita saat kita di puji oleh orang?. kembang bontot, riak atau biasa-biasa saja, macam tak ada apa-apa. Untuk menentukan sama ada seseorang itu ikhlas adalah bila dia di puji tidak timbul rasa riak tersebut di hati. Saidina Ali pernah berkata, “Mereka yang suka menunjuk-nunjuk (riya’) mempunyai tiga tanda: Apabila dia bersendirian malas beribadah, apabila bersama-sama orang ramai dia menjadi rajin beribadah. Apabila dicaci, amal ibadahnya dikurangkan. Sebaliknya apabila dipuji, dia menambahkan amalannya.” Cuba semak diri kita, ada tak dalam hati kita perangai seperti itu ?. Kita saja yang tahu.Kalau ada, cepat-cepatlah istighfar.
2. Redha.
Apakah yang di maksudkan dengan redha?. Apabila dia di timpa sesuatu musibah
dia berlapang dada, manakala apabila diberikan anugerah atau nikmat, dia mensyukuri nikmat Allah swt. itu. Pendek kata, dia menerima semua ketentuan Allah swt. dengan tenang dan sabar. Firman Allah swt, “Alangkah baiknya jika mereka redha dengan apa yang Allah dan RasulNya berikan kepada mereka sambil mereka berkata, “Cukuplah Allah bagi kami, Ia dan RasulNya akan berikan kepada kami kurnianya. Sesungguhnya pada Allah kamu menuju.” Redha adalah kemuncak tanda kasih insan kepada Allah swt, Tuhan Yang Maha Esa.
3. Sabar.
Apa pula yang dinamakan sifat sabar. Sifat sabar sedikit berbeza dari sifat redha. Sifat mahmudah yang ini berupa sifat yang menguji diri. Seseorang yang memiliki sifat sabar berupaya menahan diri apabila ditimpa ujian. Berupaya menahan diri dari hawa nafsu, rasa marah dan rasa buruk sangka sesama insan. Bukan sahaja ketika di timpa ujian kita sabar, tetapi dalam menunaikan ibadah kepada Allah juga kita diminta bersabar. “ Alahai , Minah tak masak, wak sabar, minah marah-marah, wak sabar, minah merajuk, wak sabarrr minah lari, wak kejar”.
“Mintalah bantuan kepada Allah dengan sabar dan solat”. Sesungguhnya sabar itu sangat berat melainkan kepada orang yang khusyuk. Apabila kita mampu bersabar, banyak masalah dalam hubungan sesama manusia dapat dielakkan.
Seseorang manusia apabila ditimpa sesuatu musibah sama ada besar atau kecil lalu dia bersabar dan ingat kepada Allah serta yakin bahawa apa yang berlaku telah ditetapkan Allah kepadanya, dan mempunyai hikmah disebaliknya maka dia akan menjadi tenang. Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Subhanallah.
Hidup ini adalah ujian. Ujian yang datang itu pastinya berbeza-beza kepada setiap orang. Senang itu satu ujian, susah juga ujian. Kaya itu ujian, miskin juga ujian. sibuk itu ujian, lapang juga ujian. Memang dunia ini merupakan pentas ujian. Berdoalah dan mohonlah kepada Allah supaya kita lulus dengan ujian-ujianNya. Hendaknya kita haruslah sentiasa bersabar, redha dan ikhlas dalam menghadapi setiap ujian daripada Allah swt.
;~) F.A.S.T.
No comments:
Post a Comment