August 06, 2010

Galakkan Anak Berniaga

Ketahuilah bahawa sembilan bahagian rezki itu adalah dalam perniagaan, ini mafhum hadith Nabi Muhamad saw. Namun bagaimana sambutannya daripada orang islam, lebih-lebih lagi bangsaku?. Teruskan membaca ;~)

Dalam masyarakat melayu islam, kebanyakan yang kita jumpa, ibu dan ayah bukanlah ahli perniagaan, dan sangat sedikit keluarga yang terlibat dalam perniagaan. Rata-rata kebanyakannya bekerja dengan kerajaan, swasta atau sebagai pekerja kilang), Sebilangan besar golongan remaja atau dewasa lebih gemar bekerja makan gaji berbanding dengan mereka yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan. Pelbagai alasan yang boleh kita dengar jika kita bersedia untuk mendekati golongan ini. Antaranya ialah tak ada modal, tak ada pengalaman, susah nak memulakan berniaga, pendapatan tidak tetap dan 1001 alasan lagi. Mereka yang menceburkan diri dalam perniagaanpun kebanyakannya kerana terpaksa. Terpaksa setelah diberhentikan kerja (vss), tak dapat kerja dan sebagainya.

Sebenarnya bakat atau minat berniaga mesti diasuh dan disuntik dalam diri anak-anak sewaktu mereka masih kecil lagi. Berikut adalah beberapa tip mudah mengalakkan anak-anak untuk minat dengan perniagaan dan wang:

1. sewaktu berbelanja di kedai runcit, kedai makan dan sebagainya, berikan anak melakukan pembayaran dan mengambil baki wang daripada cashier. Dengan cara ini, ia membiasakan anak-anak dengan transaksi perniagaan sejak kecil

2. Beri upah sebagai mengalakkan anak-anak apabila menghasilkan sesuatu yang menarik seperti lukisan atau kraftangan. Galakan sebegini akan meningkatkan lagi keyakinan anak kita dalam mengasah kreativiti sendiri.

3. Galakkan anak-anak menabung. Dari masa kesemasa, kira bersama hasil tabung supaya anak kita belajar menjejak simpanan. Galakan juga boleh diberikan dalam bentuk hadiah kecil (hasil daripada simpanan) untuk menggalakkan simpanan dan juga membiasakan mereka melihat bahawa wang simpanan usaha sendiri akan kurang apabila berbelanja.

4. Semaikan tabiat berjimat cermat. Sayangi wang dan berfikir dahulu sebelum berbelanja. Ini bukan bermakna kedekut tetapi untuk mengelakkan membazir atau pemborosan.

Berikan pendedahan awal perniagaan dan kewangan kepada anak-anak. Ia akan banyak membantu mereka apabila dewasa kelak dari segi keyakinan diri dalam perniagaan dan pengurusan wang. Jadikan berniaga dan wang sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan menggembirakan. Ciptakan keadaan di mana perniagaan adalah permainan bersama mereka. Galakkan mereka berfikir kreatif. Bincangkan perihal kewangan (bukan masalah kewangan) dan jadikan mereka menghormati dan mengharagi wang dengan cara yang menghiburkan. Wang bukan sebagai yang menakutkan tetapi sebagai sebahagian daripada hidup. Tetapi awas, wang bukan sebagai matlamat hidup. Segala-galanya nak beli mesti ada wang, tetapi wang bukanlah segala-galanya.

Jom sama-sama kita memulakan membina perniagaan keluarga sebelum membesarkan empayar perniagaan keluarga.

;~) FAST.

No comments: