August 15, 2010

Kongsikan Juadah Berbuka Puasa

Selamat Berpuasa, Ramadhan menyediakan pelbagai pakej untuk meningkatkan amal baik dan mendekatkan diri kepada Allah, teruskan membaca ;~)

Sementara kita sudah menyediakan sendiri juadah berbuka puasa, masaklah lebih sedikit (jangan terlalu banyak pula, membazir) untuk diberikan sepiring atau semangkuk kepada jiran sebelah. Hadith Nabi Muhamad s.a.w. 'Jika kamu membeli daging atau masak dalam periuk, perbanyakkanlah kuahnya untuk diciduk sebahagian darinya diberikan kepada jiran'. Ini bukanlah bermakna kita hanya berikan kuahnya sahaja, tambahkanlah isinya sedikit.

Jangan merasa malu hendak berkongsi makanan sesama jiran. Dalam hadith yang lain, RasulAllah saw. bersabda, 'Wahai wanita muslimat, janganlah merasa terhina untuk memberi kepada jiran tetangga sekalipun tulang kambing yang sedikit dagingnya'. Apa yang kita masak dan yang kita makan, kongsikanlah bersama jiran, bukan sekadar berkongsi baunya saja.

Apabila kita bertukar-tukar atau berkongsi juadah berbuka puasa, bukan sahaja kita akan dapat merasa kepelbagaian juadah, malahan ianya akan mengeratkan ikatan atau semangat kejiranan. Malahan lebih penting lagi pahala berpuasa akan bertambah-tambah. Disinilah hadith Nabi Muhamad saw. yang bermaksud 'Sesiapa yang memberikan juadah berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala orang yang berpuasa itu, sementara orang yang berpuasa itu tidakpula dikurangkan pahalanya walau sedikitpun'. Inilah kelebihan Ramadhan Al Mubaraq, pahala mudah sangat nak dapat, buat sikit, pahala berganda-ganda.

Disamping kita berpuasa, (menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang boleh membatalkan dan mengurangkan pahala puasa), kita juga dapat meningkatkan semangat kejiranan dan pahala puasa akan bertambah-tambah. Fikir2 kanlah untuk kita amalkan.

;~) F.A.S.T.

No comments: