May 01, 2011

PESANAN UNTUK ANAK

Wahai anak2 kesayanganku, dengarkanlan pesanan Ayahmu ini sesungguhnya dalam hidup ini, kita perlu membuat keputusan-keputusan penting yang akhirnya akan mempengaruhi kehidupan masa depan kita.

Sukarnya membuat pilihan ini dapat dilihat bila Nabi saw meminta supaya kita melakukan solat istikharah dan bermesyuarat sebelum membuat sesuatu keputusan. Sabda Nabi Muhammad saw., mafhumnya: Tidak rugi orang yang melakukan istikharah, dan tidak menyesal orang yang bermesyuarat, dan tidak miskin orang yang berjimat. (Tabarani dalam Mukjam Ausat; Durrul Manthur, jld 4, ms 88). Maka antara keputusan yang perlu dilakukan dalam hidup yang amat penting ini ialah memilih pasangan hidup. Memang diakui, soal jodoh pertemuan telah ditetapkan oleh Allah swt, tetapi sebagai manusia kita juga harus kena berusaha.

Pansangan hidup merupakan pasangan sepanjang hayat di dunia dan di akhirat, pasangan untuk selama-lamanya. Dalam hal ini, wahai anakku, Tuhan telah menganugerahkan kepada kita kebijaksanaan dalam memilih pasangan hidup. Berabad sudah lamanya manusia dari segenap kelompok bangsa di dunia ini melalui jangkamasa proses evolusi, kebanyakkannya berjaya memilih pasangan hidup yang sesuai dan kekal hingga ke akhir hayat, malahan membawa ke syurga. Sebab itulah mereka berjaya dipersada dunia. Sudah pasti disebalik kejayaan seorang lelaki itu terdapat seorang perempuan disampingnya, begitulah juga sebaliknya.

Sememangnya terdapat banyak perkahwinan yang gagal bertahan, ‘harapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari’. Tetapi secara keseluruhannya, perkahwinan manusia di seluruh dunia adalah berjaya. Buktinya, manusia dapat berkembang biak, jenerasi demi jenerasi dengan institusi kekeluargaan terus dapat bertahan tahun demi tahun, zaman berganti zaman.

Percayalah kepada ‘suara hati’ tanyalah hatimu terhadap siapa yang bakal dipilih sebagai calon pasangan hidupmu. Maka syarat pertama bagimu untuk memilih bakal pasangan hidupmu ialah, dia hendaklah benar-benar yang kamu cintai, tidak ada keraguan dan tidak ada rasa berbelah bagi, tidak kurang daripada 100 persen. Jika ada secebis keraguan, tangguhkanlah dahulu. Pilihan ini merupakan teman berteman untuk hidup sepanjang hayat didunia dan di akhirat (hingga ke syurga, InsyaAllah). Kerana kalau silap memilih, tidak ada jalan penyesalan yang boleh berpatah balik. Untuk bercerai dan berganti baru adalah jauh lebih sukar, jauh lebih susah, jauh lebih sengsara daripada berkahwin kali pertama. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan, buruk padahnya.

Apakah kriteria pertama yang harus menjadi pilihanmu ?. Ikutlah panduan yang telah disyariatkan oleh Nabi Muhamad saw. Dari Abu Hurairah ra. dari Nabi saw, baginda bersabda : “Perempuan itu dinikahi kerana empat perkara, yakni kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya, maka pilihlah perempuan yang beragama niscaya kamu bahagia.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Sememangnya banyak faktor yang perlu diambil kira sebelum membuat keputusan berumahtangga. Ini bukan keputusan sembarangan. Ini yang bakal menentukan sama ada kita akan berjaya ataupun gagal. Berjaya dalam hidup di dunia hingga ke alam akhirat InsyaAllah. Dan kalau gagal mungkin akan membawa padah yang serupa juga. Dalam sebuah hadis, daripada Saad bin Abi Waqqas dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang solehah, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk.” (HR. Ahmad). Secara mudahnya kebahagian, akan datang dengan jelas apabila kita mempunyai tiga perkara, yakni, isteri (suami/pasangan) tempat tinggal, dan kenderaan.

Calon pasangan hidupmu itu semestinya beragama (beramal dengan ajaran Agama Islam), daripada keturunan baik-baik, kecantikan dan yang berpendidikan. Sebagai tambahan, maklumlah dalam zaman yang penuh dengan cabaran sekarang ini, lebih baik pilih wanita/suami yang bekerjaya bagus di samping faktor kesihatannya, serta kampung halamannya di mana dia tinggal. Semua ini akan menentukan perjalanan hidupmu dimasa akan datang, (paling tidakpun masa berhari raya lebih mudah untuk balik kampung bersama).

Ya anakku, semua faktor itu perlu diambil kira. Tetapi ayah tahu, mana-mana lelaki/perempuan normal, yang cukup hormon, tidak kurang dan tidak lebih, serta tidak songsang, pasti akan mahukan wanita/lelaki cantik/kacak. Memang dari dahulu pun orang tahu, rupa paras yang cantik/kacak merupakan kriteria pertama bagi pilihan lelaki/perempuan. Sebab itulah rupa paras wanita manusia semakin lama semakin cantik. Bukanlah kerana semakin banyak ciptaan kosmetik baru tetapi kecenderungan lelaki untuk memilih wanita cantik, maka pastinya baka-baka yang diturunkan akan akhirnya lebih banyak cantik daripada kurang cantik.

Untungnya bagi wanita pula cantik itu subjektif dan relatif bagi seseorang lelaki. Ada perempuan yang dipandang cantik oleh lelaki tertentu, tidak pula menarik bagi lelaki lain. Begitulah juga sebaliknya. Dari kecantikan itu, barulah jatuh hati. Maka wahai anakku, pilihlah perempuan yang dirasakan tanpa was-was sebagai amat cantik bagi dirimu, dia yang bila kamu pandang akan memberikan kamu ketenangan hati. Memanglah diakui bahawa kecantikan akan pudar akhirnya. Tetapi hendak sampai kepada kepudaran itu memakan bertahun juga. Bila akhirnya pudar nanti, apa yang suami ingat ketika sudah berusia kelak adalah wajah cantik isterinya ketika dia muda dahulu. Ingatan itulah kenangan-kenangan manis, memori-memori indah inilah yang penting untuk dibawa ke hari tua.

Oleh itu, pilihlah perempuan/lelaki yang benar-benar berkenan di hati kerana kecantikannya/ketampanannya sebab setiap hari kamu akan menatapnya, baik siang ataupun malam. Pagi dan petang iaitu sepanjang hayatmu. Jadi apakah dia kecantikan? Maka orang kata kecantikan bukan saja rupa paras tetapi yang lebih penting ialah perangai. Itu kata masyarakat.

Islam turut menghormati taraf kedudukan seseorang, sebab itulah pemilihan pasangan hidup hendaklah juga mengambil kira taraf atau sekufu. Sekufu yang akan memberikan maksud bahawa engkau dan ‘sidia’ yang sepadan. Engkau memerlukan dia dan sidia memerlukanmu. Engkau dapat memenuhi kekurangan dirinya dan dia dapat menutupi kekurangan dirimu. Saling memerlukan antara satu dengan lain. Memang diakui bahawa antara kau dan sidia sememangnya tidak ada persamaan, Jangan sesekali cuba mencari persamaan, kelak kau akan hampa dan kecewa. Akan tetapi carilah keserasian antara kau dan sidia, nescaya kau akan ketemui hampir setiap perkara kau berdua akan ada serasinya. Percayalah semakin kau mencari, semakin lama hidup bersama, kau akan ketemui betapa banyaknya keserasian itu nanti. Kajian demi kajian menunjukkan bahawa rupa paras suami dan isteri hampir-hampir menyamai antara keduanya (suami dan isteri) semakin lama usia perkahwinan mereka hidup bersama.

Sekufu juga membawa pengertian seperti Firman Allah swt yang bermaksud: "Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina juga atau perempuan musyrik. Dan perempuan yang berzina tidak boleh dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina juga ataupun lelaki yang musyrik. Yang demikian itu haram terhadap orang yang beriman." dalam ayat yang lain, Allah swt. berfirman; "Wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat adalah untuk wanita-wanita yang jahat, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik." … .” (QS. An Nur : 26)

Ayat di atas patut diambil pengajaran dan dijadikan iktibar, ‘apa yang kita semai, itulah yang akan kita tuai’. Pohonlah kepada Allah bagi disempurnakan Akhlakmu. Berakhlaklah dengan Akhlak Allah, (Jujur (Al Mukmin), Sabar (As Sobur), Pengasih (Ar RAhman), Penyayang (Ar Rahim), Pemaaf (Ar Gafar), Adil (Al A’dl), Penyantun (Al Halim), Berterus terang (Az Zahir), Bijaksana (Al Rashid), dan sebagainya. Sesungguhnya kamu akan diketemukan dengan jodoh yang hampir serupa perangainya dengan dirimu. Itulah ketetapan Allah swt. sejak azali.

Tugas Ayah dan Umi adalah untuk mendidik dan menanamkan Akhlak yang mulia dalam dirimu. Menyambung tugas Nabi Muhammad saw. Inilah sebenarnya kerja Nabi Muhammad saw dan atas maksud ini jugalah Nabi diutus ke dunia ini, Firman Allah swt. “Tidak Aku utuskan Engkau wahai Muhammad melainkan untuk menyempurnakan Akhlak manusia”. Dalam Al Quran Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat agung.” (Al Qalam: 4). Ayah Umi berdoa semoga Allah menyempurnakan Akhlaknya ke atas dirimu wahai anak-anakku. Doa Ayah Umi tak pernah pudar supaya Allah menzahirkan zuriat kami dengan ketetapan ini; “Sesungguhnya orang yang paling hampir dengan tempatku di kalangan kamu ialah yang paling cantik akhlaknya, mereka menghormati orang lain dan mereka senang bermesra dan dimesrai. Orang Mukmin itu ialah yang mudah mesra dan dimesrai, dan tiada kebaikan pada mereka yang tidak boleh bermesra dan dimesrai. Dan sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada manusia.” (Riwayat Al Hakim dan Al Baihaqi). Tugas dan tanggung jawab ini tidak akan selesai selagi jantung ini berdenyut, selagi hayat dikandung badan. Dan apabila ianya selesai, dikala itu duhai anakku, Ayah Umi ingin sekali melihat bahawa hidupmu bahagia disamping isteri/suami yang menyayangi dan mencintaimu dengan Rahmat dan kasih Sayang Allah swt, dan Ayah Umi mengadap Ilahi dengan Hati yang Tenang dan Damai ‘di dunia’ sana. Amin Ya Rabb.

F.A.S.T. ;~)

No comments: