April 30, 2011

PEPERIKSAAN DATANG LAGI

Entry kali ini ditujukan kepada Nur Aina Mardhiah, Ahmad Uzsair Umair serta semua anak2 Malaysia yang sedang belajar di Mesir dan dimana jua.Teruskan membaca ;~)

Demam peperiksaan menjangkiti semua pelajar. Ia turut dirasai oleh ibu bapa dan semua orang yang berkepentingan,tak kurang juga Agensi yang terlibat menghantar pelajar ke Mesir.

Mabuk demam peperiksaan ada baiknya untuk kalian. Ia akan mendorong ke arah kewaspadaan dan “kerja kuat” bagi menghadapi hari peperiksaan. Bersiap sedia. bersemangat, ghairah dan tekun. Biarlah demam peperiksaan menghangatkan semangat juang dan menguatkan azam untuk berjaya dengan cemerlang, MUMTAZ InsyaAllah.

Demam peperiksaan, tidak perlu diubati. Kecuali jika membawa kepada gejala sakit kepala, tekanan (stres) yang terlampau dan gelisah yang keterlaluan, sehingga menjejaskan diri. Ubatnya ialah tidur sekejap, menarik nafas panjang, berjalan-jalan bagi mendapatkan oksijen segar, minum air, mandi, membaca Al-Quran, bercakap dengan ibu bapa dan mengingati sesuatu yang indah, memori yang pernah dialami dan lain-lain.

Tingkatkan semangat Kendiri dan Motivasi dalaman. Katakanlah "InsyaAllah aku bersedia sepenuhnya untuk peperiksaan kali ini (walaupun ada sikit2 lagi yang masih belum diulangkaji dengan mantap, tapi aku sudahpun membaca dan mencubanya berulang kali sebelum ini, Cuma kekadang aku lupa, biasalah aku insan yang lemah). Aku datang dan berjuang dengan izin Allah. Aku tidak gentar, Sesungguhnya Allah bersama-samaku. Aku berhak untuk mencuba yang terbaik. Aku belajar dengan penuh insaf dan sedar bahawa tidak ada jalan mudah untuk berjaya . Aku tidak akan menyerah kalah, Aku pernah berjaya sebelum ini, kali inipun InsyaAllah aku akan mengulangi kejayaan yang sama, malahan lebih berjaya lagi berbanding dengan sebelum ini. Dengan usaha dan doa yang bersungguh-sungguh kali ini, aku yakin bahawa kejayaan adalah milikku, dengan bantuan dan kudrat Allah swt". Amin

Walau bagaimanapun, peperiksaan tetap juga peperiksaan. Bermakna anda perlu mengulangkaji apa yang pernah dipelajari dalam dewan kuliah. Apa yang utama pada musim peperiksaan ini adalah bagaimana anda menjaga kesihatan agar, apabila berada dalam dewan peperiksaan, anda berada dalam keadaan sihat, stabil dan bersedia 100% untuk menjawab soalan peperiksaan.

Utamakan kesihatan. Kalaupun anda belajar dan ulangkaji dengan sebaiknya tetapi kesiahtan tidak mengizinkan, alangkah ruginya. Lebih-lebih lagi jika anda perlu tangguhkan peperiksaan semata-mata kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Berikut disertakan beberapa tip (panduan) untuk anda yang bakal menduduki peperiksaan kali ini;

1. Banyakkan minum air.

Air masak (plain water) akan membersihkan darah dan membuang segala bahan kumohan yang tidak diperlukan oleh badan. Mungkin, ramai dikalangan kita mengambil kafein seperti neskefe atau kopi dan lain-lain sebagai perangsang untuk berjaga malam, namun awas, usah berlebihan. Jauhi juga ubat-ubatan tahan mengantuk apatah lagi bahan yang membahayakan kesihatan seperti rokok dan sebagainya. Ia tidak akan membantu anda pada waktu sebegini, lebih memudaratkan adalah!

2. Bersenam

Bersenam bukan sahaja menyihatkan, membetulkan pengaliran darah, malah mampu memberi kita ketenangan fikiran. Paling malaspun, boleh turun naik tangga atau berjalan laju. Kalau mampu berjogging, paling tidakpun berjalan-jalan melihat kehijauan pokok dan mengambil udara segar. Ini dapat membantu kita menenangkan fikiran dan menambahkan oksigen dalam darah. Ketenangan ini bukan sahaja memberi semangat baru kepada kita, malah mampu menyuntik idea yang bernas dan ketajaman pemikiran.

Semakin kita tenang, maka kita lebih mampu berfikir secara lebih ideal, mampu mencambah pemikiran yang praktikal, ideal dan bernas. Gabungjalin antara pelajaran di dewan kuliah, buku-buku rujukan, perbincangan, kelas tambahan dan nota-nota yang dibaca dapat digabung dan dihubung kaitkan dengan lebih baik.

Belajar di universiti bukan sahaja ilmunya diperolehi di dewan kuliah. Gabungan ilmu, pengalaman dan kreativiti akan memberi jatidiri dan wibawa kepada anda juga.

3. Makanan berzat

Makanan yang berzat dan berkhasiat sangat diperlukan oleh tubuh badan terutama di musim peperiksaan sebegini. Ingat ! Otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat. Ambil makanan yang banyak mengandungi protein, dan vitamin. Makanan yang banyak mengandungi vitamin B kompleks dan Vitamin C sangat membantu dalam meningkatkan memori dan ketenangan fikiran. Kurangkan mengambil makanan yang diproses, dijeruk atau banyak mengandungi bahan awit atau msg. Tambah lebih banyak sayur dan buah dalam menu harian. Lebihkan minum jus buah-buahan dan serentak itu boleh kurangkan minum minuman yang banyak mengandungi kafen.

4. Tenangkan diri, kawal stress

Stress akan mudah ‘menziarah kita’ terutama pada musim peperiksaan. Banyak kes hysteria, kemurungan dan ketidakstabilan diri berlaku akibat stress menjelang peperiksaan. Kebiasaannya pelajar yang tidak bersedia untuk menduduki peperiksaan akan berhadapan dengan stress melampau, tambahan pula sekiranya pelajar itu gagal mengawal stress berkenaan. Keadaan akan menjadi lebih buruk.


Belajar cara depani stress. Anda juga perlu bersedia lebih awal untuk musim peperiksaan. Membuat persediaan untuk peperiksaan pada minit terakhir atau melakukan ulangkaji pada saat akhir menyebabkan stress tidak terkawal. Elakkan perkara ini sekiranya anda tergolong dalam golongan yang tidak mampu tangani stress dengan baik. Ulangkajilah lebih awal berbanding orang lain selain belajar cara depani stress. Antara cara-cara menangani stres ialah : teknik pernafasan (ambil nafas dalam-dalam melalui hidung dengan kiraan lapan, tahan nafas dengan kiraan lapan dan hembuskan perlahan-lahan melalui mulut dengan kiraan lima), bercerita dan mendengar cerita dengan ahli keluarga, tidur yang cukup (6 – 8 jam), tidur seketika 10 minit sebelum zohor atau selepas zohor, mendengar muzik, membaca alquran, solat dan zikir, melihat pemandangan yang indah, mandi air suam, kawal makan (coklat dan susu dapat meningkatkan ketenangan dan kewaspadaan). Jika susah nak tidur, minum susu suam satu gelas atau makan sedikit coklat. Tingkatkan keyakinan diri (bisikan kendiri yang betul)

5. Doa dan Tawakal

Hak Allah (ketentuan Allah) menentukan hasil yang akan kita perolehi, Hak kita adalah membetulkan niat dan Ikhthiar. Jaga semua amalan agama seperti sembahyang lima waktu, sembahyang sunat taubat, sembahyang sunah hajat, baca quran, zikir dan beristighfar dan sebagainya. Berusahalah sebaiknya, disamping berdoa dan bertawakal. InsyaAllah lakukan yang terbaik yang kita boleh dan selebihnya serahkan kepada Allah swt. “KepadaMu Aku berserah Ya Allah, sesungguhnya aku tidak ada daya upaya, dan sesungguhnya kekuasaanMu sangat Hebat. KepadaMu aku meminta dan kepadaMu jua aku bertawakal.

Semoga entry kali ini dapat membantu anak-anak yang akan menhadapi peperiksaan akhir tahun. Ayahanda doakan semoga semua Anakanda beroleh kesejahteraan dan sentiasa dalam Rahmat dan Rahim Allah swt, MUMTAZ InsyaAllah.

F.A.S.T. ;~)

No comments: