March 22, 2011

SEKUFU DALAM PERKAHWINAN

Perkahwinan bermaksa perkongsian. Berkongsi melayari bahtera kehidupan dari dunia sampai akhirat, dari hidup di dunia hinggalah ke syurga. Ini membawa pengertian bukan hanya sementara di dunia, tetapi kekal diakhirat untuk selama-lamanya. Teruskan membaca ;~)

Perkahwinan yang sukufu. Kufu bermaksud persamaan, kelayakkan atau sepadan. Kufu tidak menjadi syarat dalam perkahwinan, tetapi jika tidak dengan keredhaan masing-masing, maka bolehlah memfasakhkan nikahnya itu dengan alasan tidak kufu.

Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Qur'an yang bermaksud : "Wahai sekelian manusia sesungguhnya kami jadikan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar kamu kenal-mengenal di antara satu dengan yang lain , bahawa sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah yang paling bertaqwa diantara kamu , sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana" Al Hujrat:13.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Tidak ada kelebihan orang Arab atas orang yang bukan Arab dan sebaliknya, tidak ada orang putih atas orang hitam dan sebaliknya, tetapi kelebihan yang satu dari yang lain hanyalah dengan taqwa ".

Kufu berpunca daripada lima sebab :

1 Selamat daripada 'aib seperti gila atau penyakit kulit.
2 Merdeka bukan hamba .
3 Keturunan.
4 Pekerjaan.
5 'Iffah (Kebolehan atau kesopanan )

Pembentukan keluarga memainkan peranan penting dalam agama Islam. Jadi apabila Islam menggalakkan sekufu, ini bermakna Islam melihat lebih jauh lagi mengenai peranan sesuatu keluarga itu. Ini kerana perbezaan yang terlalu banyak dan ketara di antara pasangan suami dengan isteri dalam pelbagai perkara, hanya akan menimbulkan berbagai-bagai masalah untuk meneruskan kehidupan berkeluarga yang akan dibina kelak. Bahkan sekiranya tiada sekufu antara kedua-duanya, maka isteri atau walinya berhak menuntut fasakh selepas perkahwinannya.

Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya.

"Sekufu didefinisikan oleh para ulama sebagai 'al musawah wal muqarab' atau yang bermaksud persamaan atau hampir. "Yang dimaksudkan dengan persamaan atau hampir ini lebih ditekankan dalam Islam kepada pihak perempuan. "Jadi di sini, sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

"Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Dalam hal inilah, Islam melihat kafaah sebagai satu aspek yang perlu dijaga.
Menurut ulama fiqah, keseluruhan mereka mengambil kira kepentingan sekufu, sehingga didapati Mazhab Syafie meletakkan sekufu sebagai hak seorang perempuan dan hak walinya. Sementara bagi Mazhab Hanafi, walaupun tidak ada wali mujbir (wali yang boleh memaksa anaknya untuk berkahwin atau tidak berkahwin, misalnya ayah dan datuk) seorang perempuan itu boleh mengahwinkan dirinya tanpa wali.

Namun wali mujbirnya iaitu bapanya contohnya, masih berhak untuk membubarkan perkahwinan itu sekiranya mendapati pasangan tersebut tidak sekufu. Sebagaimana dijelaskan di atas bahawa sekufu merupakan hak kepada wanita dan walinya, maka sekiranya salah seorang daripada orang yang berhak ini menghalang perkahwinan disebabkan tidak sekufu, maka perkahwinan itu tidak boleh dilangsungkan.

Contohnya, seorang perempuan membawa calon suaminya tetapi tidak dipersetujui oleh bapanya sebagai seorang wali mujbir dengan alasan lelaki tersebut tidak sekufu dengan anaknya, maka alasan itu dianggap munasabah dan hak bapanya sebagai wali tidak boleh dipindahkan kepada wali hakim atau wali selepasnya. Begitu juga sekiranya seorang perempuan yang dipaksa berkahwin oleh wali mujbirnya, sama ada bapa ataupun datuk tetapi dia menolak dengan alasan bahawa perkahwinan ini tidak sekufu, maka dia berhak untuk menghalang perkahwinan ini.

Jelas di sini, bahawa semua mazhab meletakkan sekufu sebagai satu perkara yang penting. Jumhur mengatakan, sekufu adalah syarat untuk meneruskan perkahwinan, bukannya syarat sah perkahwinan tetapi tidak dinafikan bahawa sekufu penting dalam perkahwinan. Sementara menurut Imam Shirazi, apabila seorang wanita ingin berkahwin dengan orang yang tidak sekufu, tidak menjadi kewajipan kepada wali mengahwinkannya. Manakala, bagi Imam Imrani pula, pemerintah tidak boleh mengambil alih ataupun wali tidak boleh dipaksa untuk mengahwinkah anak perempuan dengan pasangannya yang tidak sekufu.

Sekufu adalah hak kedua-dua belah pihak, iaitu calon isteri dan walinya. Pun begitu ia boleh digugurkan dengan syarat dipersetujui oleh kedua-dua. Ini dijelaskan lagi oleh hadis riwayat Aisyah, Rasulullah s.a.w. bersabda: Pilihlah olehmu untuk keturunan kamu dan bernikahlah dengan orang yang sekufu. (Riwayat al-Baihaqi)

Manakala di dalam kitab Fathul Qadir, "Tidak boleh menikahkan seorang perempuan itu kecuali walinya dan mereka tidak akan menikahkannya kecuali yang sekufu". Pada zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang hamba bernama Burairah yang dimerdekakan oleh Aisyah r.a. Setelah dia dimerdekakan, Rasulullah bertanya kepadanya kerana dia telah berkahwin dengan seorang hamba. Baginda memberi pilihan kepada Burairah sama ada mahu meneruskan perkahwinannya atau bercerai. Nyatalah bahawa Rasulullah begitu menitikberatkan soal sekufu, memandangkan suami Burairah masih menjadi hamba berbanding dirinya yang sudah merdeka.

Ayat al-Quran yang begitu terang menceritakan tentang sekufu ini tidak ada. Cuma yang ada ialah ayat yang agak hampir dalam masalah sekufu ini, iaitu surah an-Nur ayat 26, Allah s.w.t. berfirman maksudnya: "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji (juga), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)".

Malah kepentingan sekufu ini tidak terhad kepada gadis dan wali sahaja, wanita yang berstatus janda juga perlu dititikberatkan soal sekufu.

Ini terbukti apabila Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Ali bin Abi Talib, Tiga perkara jangan kamu tangguhkan. Pertama, menunaikan sembahyang apabila masuk waktunya. Kedua, menguruskan jenazah, dan ketiga, janda sekiranya didapati ada lelaki yang sekufu dengannya, maka langsungkanlah pernikahannya. (Riwayat Tirmizi) .

Menyedari kepentingan sekufu ini, adalah di sarankan kepada ibu bapa dan remaja perempuan, agar mengambil berat mengenainya tetapi jangan bersikap terlalu rigid.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Apabila datang pinangan kepada kamu daripada orang-orang yang kamu redhai agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dengannya. Sesungguhnya, sekiranya kamu tidak berbuat demikian, akan menyebabkan fitnah dan kefasadan (kerosakan) di muka bumi.
Menyentuh mengenai tahap pendidikan, aspek pendidikan boleh dikaitan dengan profesion atau kerjaya dan penghayatan agama (ilmu agama). Contohnya sebuah kisah yang berlaku pada zaman baginda Rasulullah. Bilal bin Rabah (bekas hamba) berketurunan Habshi telah dikahwinkan dengan seorang wanita Ansar.

Wanita tersebut mengetahui bahawa Bilal bukan berbangsa Arab. Namun, Rasulullah mengenepikan soal darjat antara kedua-duanya dan mengatasinya dengan cara memberi kefahaman dan penghayatan agama.

Begitu juga kisah sekumpulan orang-orang Ansar yang berkata kepada Ali bin Abi Talib, "Alangkah baiknya kalau kamu memiliki Fatimah." Lalu Ali menemui Rasulullah s.a.w. untuk meminang puterinya, Fatimah. Setelah mengucapkan salam beliau ditanya oleh Rasulullah s.a.w.: Apa hajatmu wahai putera Abi Talib? Jawab Ali, Aku hendak melamar Fatimah puteri Rasulullah s.a.w. Rasul menjawab: Marhaban Wa Ahlan. dan tidak berkata apa-apa lagi. Maka Ali keluar menemui sekumpulan orang-orang Ansar yang sedang menunggunya tadi. Mereka bertanya, "Berita apa yang kau bawa?" Ali menjawab, "Aku tidak tahu kerana baginda hanya mengatakan kepadaku, Marhaban."

Daripada peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa sekufu dalam agama merupakan aspek penting dalam pemilihan jodoh. "DUDUK sama rendah, berdiri sama tinggi', 'Sama cantik sama padan' dan `Bagai pinang dibelah dua".
Itulah kepelbagaian ungkapan yang sering benar diucapkan apabila hendak memuji kecantikan dan ketampanan sepasang pengantin baru. Luahan perasaan sebegini jelas membuktikan naluri kita sebagai manusia yang gemar kepada keindahan, dan menolak sesuatu yang tidak sepadan atau tidak secocok.

Apatah lagi, perkahwinan merupakan ikatan perjanjian dua orang insan untuk berkongsi segalanya dalam menempuh kehidupan berumah tangga, yang mengharapkannya kekal sepanjang hayat.

Lantaran itu, sebaiknya kedua-duanya setaraf dalam banyak hal supaya rumah tangga yang akan diharungi lebih mudah dilayari. Kesesuaian atau sefahaman dalam memilih suami mahupun isteri, merupakan asas dalam membina keluarga Muslim. Kesesuaian bukan sahaja dinilai dari aspek kedudukan, harta kekayaan dan pendidikan akan tetapi kesamaan atau sefahaman dalam agama turut diambil kira di dalam Islam.

F.A.S.T. ;~)

SAYALAH NAKHODANYA

Kita sebenarnya yang mengawal sikap kita, kita sebenarnya yang membentuk diri kita, kita sebenarnya yang merencanakan apa yang kita inginkan. Allah bertindak mengikut sangkaan hambanya. Teruskan membaca ;~)

Kita ibarat nakhoda dalam pelayaran. Kemana nak kita bawa kehidupan ini?. Aku selalu ingat kerana aku tidak dijadikan oleh Maha Pencipta dengan sia-sia. Ada tujuan, ada sebab dan ada manafaat yang mungkin aku sendiri tidak sedari. Siapa Aku?, Untuk apa Aku dijadikan, dan Mahu ke mana Aku selepas ini.

Setiap detik dalam kehidupan, kita menyusun program, kita merencanakan kejadian, kita membentuk kehidupan. Kitalah yang menyusun aturcara program sikap kita sama ada hendak berkerjasama dengan Aku ataupun menentang Aku. Sikap kita ada satu mekanisma yang nuteral. Apa saja matlamat atau objektif yang ingin kita capai, atau kita tuju, kehendak, kemahuan akan disediakan oleh sikap kita pada saat itu. Cara kita berfikir menentukan cara kita bertindak, cara kita bertindak menentukan hasil yang akan kita perolehi.

Tanpa mengira sama ada positif atau negatif, sikap kita akan memberikan hasil mengikut arahan kita, sama analoginya seperti pencetak kamputer yang hanya akan mencetak apa saja yang telah diarahkan oleh programnya.

Sikap positif akan memberi kita semangat, dorongan, harapan dan impain yang positif, walau dalam keadaan senang atau sukar, rumit atau genting. Jalan penyelesaian akan jadi mudah disamping dapat mengekalkan tenaga, menjadikan hidup lebih ceria dan yang lebih penting dapat menghindarkan diri daripada terperangkap dengan permasalahan dan lemas bersamanya. Teruskan berusaha dan berdoa disamping bertawakal.

Teruskan berfikiran positif dan bersangka baik untuk kehidupan yang lebih cemerlang.
F.A.S.T. ;~)

March 20, 2011

HIDUP YANG INDAH

Hidup ini memang tersangat indah. Indah disebabkan kita diberikan kebebasan untuk menentukannya, MEMILIH untuk menjadikannya indah, Teruskan membaca ;~)

Walau bagaimanapun mengapa sebahagian orang merasakan hidup ini membosankan, tidak indah dan tidak ceria. Hanya kita saja yang membuat hidup ini terkadang membosankan dan tidak menyenangkan. Semua itu tergantung kepada bagaimana kita melalui dan menghadapi hidup kita sendiri. Kebahagian kena dibentuk, keindahan hidup kena diwujudkan, bukan dicari.

Kita haendaklah selalu bersyukur bahwa Tuhan memberikan kita hidup yang indah. Kita harus selalu mempercayai bahwa hal-hal yang terjadi pada kita merupakan anugerah terbaik untuk kita, walaupun terkadang kita merasakan ianya merupakan hal yang buruk. Setiap yang berlaku adalah kemuncak daripada kebijaksanaan Allah.

Adalah diakui bahawa bukan mudah untuk sentiasa menjadikan hidup kita selalu indah. Walau bagaimanapun perkara terpenting adalah kita kena sentiasa bersangka baik, berpikir positif, sentiasa mengharap yang terbaik dari Allah dan sentiasa redza dalam menjalani setiap cabaran atau masalah. Kita diberikan akal dan kebijaksanaan. Kita juga diberikan garis panduan untuk mencapai ketenangan dan kejernihan hati. Ingatlah ! Hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Bila hati sudah tenang, segalanya akan menjadi indah.

Mereka yang sentiasa bersyukur dan bahagia dalam hidupnya adalah mereka yang sentiasa berusaha untuk berpikir positif dan bersangka baik, sekalipun sedang berhadapan dengan masalah atau cabaran. Belajarlah untuk menerima dan beranggapan bahawa masalah itu sebagai ujian untuk mendewasakan, sebagai anugeran dan kurniaan daripada Tuhan untuk menjadikan kita semakin hebat, semakin kuat, semakin tabah dalam menjalani hidup. Ingat, layang-layang yang menentang arah angin akan meluncur naik tinggi diawan.

Segala musibah dan bencana yang menimpa hinggakan duri yang mencucuk tubuh itu melainkan semuanya yang Allah beri adalah untuk kebaikan kepada diri seseorang. Justeru itu apabila ditimpa bencana amalkanlah dua perkara ini iaitu apabila Allah uji dengan kesenangan,kekayaan hendaklah bersyukur tetapi sebaliknya apabila Allah uji dengan kesusahan,kemiskinan dan kepayahan bersabarlah. Firman Allah yang bermaksud "Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan berasa) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar.Surah al-Baqarah:155.

Dua perkara ini amat penting dalam hidup kita dengan menerima syukur dan sabar. Rasulullah s.a.w telah berpesan, "Bila seseorang kamu mendapat kesenangan maka hendaklah dia bersyukur kerana syukur itu adalah lebih baik baginya, andaikata dia ditimpa musibah maka hendaklah dia bersabar kerana sabar itu lebih baik baginya".

Sebenarnya bila Allah menguji hambanya, Allah timpakan ujian demi ujian kepadanya, bukan Allah hendak musnahkan kehidupannya. Tetapi Allah hendak memberikan sesuatu yang terbaik untuknya. Sesungguhnya ada tiga kelebihan yang Allah beri kepada hambaNya bila dia diuji:

1. Rasulullah berpesan setiap musibah yang Allah beri pada kita tidak kiralah sakit,susah ataupun Allah mengambil nyawa orang yang kita sayang. semua itu kata nabi adalah untuk mengangkat darjat orang-orang yang beriman disisiNya; atau

2. Allah hendak menggandakan pahala kepada hambaNya; atau

3. Allah hendak mengampunkan segala dosa-dosa yang dilakukan selama ini.

Walaupun bukan mudah untuk menerima semua ini, namun itulah pilihan yang kita ada. Allah tidak menjadikan semua itu dengan sia-sia. Redzalah dengan Allah dan sentiasa bersangka baik dan berharap kepada Allah.

Kita mulakan untuk membiasakan hal-hal seperti itu, berusaha untuk selalu berfikir positif dan meyakini bahwa Allah sudah memberikan hidup yang terindah untuk kita. Jalanilah kehidupan ini dengan penuh keindahan yang ada dan sentiasa mengekalkan keindahan ini dengan selalu mencari jawapan kepada pertanyaan : 1. Siapa Aku, 2. Untuk apa Aku dijadikan, dan 3. Mahu kemana Aku selepas ini. Bersama menjalani kehidupan yang Indah.
;~) F.A.S.T.

February 24, 2011

NILAI DIRI

RAMAI orang tidak berubah bukan kerana mereka tidak mahu berubah, tetapi mereka tidak nampak keperluan untuk berubah, Kita bagaimana ?, Teruskan membaca ;~)

Secara umumnya ramai orang tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi terlalu sedikit yang melakukan apa yang mereka tahu. Justeru ramai mereka yang sekadar berligar-ligar di pinggir cemerlang dan gagal untuk mencapai kecemerlangan yang sebenar. Kita harus menerima dengan reda setiap perkara yang di luar kemampuan kita untuk mengubahnya, tetapi kita perlu mengubah setiap perkara yang perlu dan mampu untuk kita ubah. Apa yang penting ialah kita harus mempunyai kebijaksanaan untuk membezakan antara perkara yang tidak boleh diubah dengan perkara yang mampu kita mengubahnya.

Salah satu pendekatan untuk mengenal pasti aspek diri yang perlu kepada muhasabah ialah dengan menilai prestasi diri berbanding dengan sifat-sifat kritikal orang yang cemerlang. Para psikologi dan pakar motivasi menggariskan antara sifat penting yang perlu dipunyai oleh orang cemerlang ialah minda yang cerdas dan sentiasa berfikiran positif, badan yang sihat, jiwa yang tenang dan emosi yang kental, iman yang mantap, kawan yang ramai dari kalangan orang yang baik-baik, ekonomi yang kukuh (berkat dan memberkati, mempunyai keluarga yang cemerlang, setiap tindakan dilakukan dengan sebaik mungkin, sentiasa yakin bahawa hari mendatang akan membawa kecemerlangan dan kebahagiaan, sentiasa bermaaf-maafan dan segera bertaubat apabila melakukan kesilapan dan kehidupan yang seimbang (dirumah tangga, tempat kerja dan kegiatan kemasyarakatan.

Carilah masa, berilah peluang kepada diri kita untuk bermuhasabah, berilah peluang kepada diri kita untuk menjadi cemerlang. Secara jujur nilai diri kita berdasarkan sifat-sifat yang dinyatakan tadi. Sebenarnya sifat-sifat tersebut adalah hasil kajian pakar psikologi dalam menilai dan mendalami unsur-unsur kemanusiaan dan tabiatnya. Muhasabah diri dan tanyakan apakah yang bolih kita lakukan untuk memperbaiki diri berdasarkan sifat-sifat berkenaan. Satu rumusan boleh dibuat berdasarkan kajian dan juga pengalaman yang telah dilalui dalam beberapa 'case study' iaitu ramai orang tidak berubah bukan kerana mereka tidak mahu berubah tetapi mereka tidak tahu apa yang perlu diubah atau tak tau bagaimana untuk berubah atau tidak nampak keperluan untuk berubah. Cuba kita renungkan kepada satu peribahsa Cina yang berbunyi, 'siapa yang memuji saya adalah musuh saya. Sesiapa yang menegur kesilapan saya adalah guru saya'. Kebanyakan daripada kita seronok apabila dipuji dan mudah kecil hati apabila ditegur atau dikritik. Kita tidak boleh memperbaiki diri berdasarkan pujian daripada orang lain, tetapi dapat mengoreksi diri apabila mendapat teguran dan kritikan. Justeru kita perlu mengubah paradigma semasa kita dengan merasa seronok dan bersyukur setiap kali diteguran atau kritikan oleh orang lain. Jika hakikat ini dapat kita hayati dan amalkan, kita sebenarnya telah bergerak ke arah pembaikan diri yang berterusan dan insya-Allah orang sedemikian jika mempunyai iltizam yang kuat untuk berubah kepada yang positif dan mantap menghadapi cabaran pasti akan berjaya walau dalam apa keadaan sekalipun. Bersyukur dan berterima kasihlah jika ada orang sudi untuk menegur atau mengkritik kita.


Kajian-kajian menunjukkan hanya orang yang memiliki estim diri yang tinggi, hanya orang yang berjiwa besar sahaja akan lebih terbuka kepada maklumbalas berkenaan dirinya. Penumpuan lebih akan diberikan kepada kritikan berbanding dengan pujian. Apabila mereka dikritik atau ditegur, sikap mereka akan lebih positif terhadap kritikan itu. Sebaliknya orang yang memiliki estim diri yang rendah tidak suka menerima maklumbalas yang negatif tentang dirinya.

Fikir2kanlah, F.A.S.T. ;~)

February 07, 2011

POLITIK! APA PANDANGAN ANDA ?

Saya kutip artikel ini daripada coretan seorang ahli SIM (Dr Fauziah) yang saya kira orangnya sangat berhati2 dan saya sangat menghormati pandangan beliau. (Saya berharap beliau sudi berkongsi artikel ini dengan orang lain ~ sbb tuh diletakkan di SIM), Terima kasih Dr Fauziah. Teruskan membaca ;~)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua sahabat dan rakan di SIM,
Ketika saya mengajar subjek Islamic Legal System pada tahun 2006, pelajar saya pernah bertanya soalan, "Dr minat tak politik?", saya menjawab, "saya minat politik kerana politik adalah sebahagian daripada hidup kita. Dan politik juga adalah sebahagian daripada Syariat Islam. Tetapi saya sesekali tidak akan menjadi orang politik dan tidak akan menjadi ahli mana-mana parti politik (sekurang-kurangnya buat masa ini). Saya hanya akan berpolitik semasa mengundi di waktu pilihanraya. dan undi saya adalah rahsia."

Pelajar-pelajar saya terdiam dan ada seorang yang bertanya, "kenapa Dr tak mahu jadi ahli politik?" saya terdiam dan akhirnya saya memberitahu mereka tentang pendirian saya mengenai politik.

"Kalau saya menjadi ahli politik, saya terpaksa melupakan prinsip yang benar itu benar dan yang salah itu salah. Kenapa? sebab mereka yang berpolitik selalunya akan memandang pihak lawan sebagai musuh politik. Orang politik tidak akan mengatakan kebaikan yg dilakukan oleh pihak lawan/pembangkang sebagai kebaikan. Orang politik juga tidak akan mengatakan kesalahan orang-orang di dalam partinya sebagai satu kesalahan. Sedangkan nabi Muhammad mengajar kita, "katakanlah perkara yang benar walaupun pahit."

"Kalau saya menjadi ahli sebuah parti politik, saya mesti memberi taat setia kepada parti tersebut. Sedangkan saya telah dididik oleh ustaz-ustaz saya, pensyarah-pensyarah saya...kalau kita melihat perkara yang salah, walaupun dilakukan oleh sahabat kita, saudara kita..kita mesti mengubahnya, menegurnya. dan kalau kita melihat musuh kita melakukan kebaikan, kita mesti memujinya dan mengatakan perkara itu satu kebaikan. Tapi, kalau saya berani menegur kesalahan org di dalam parti saya, saya akan dianggap sebagai "pembangkang di dalam parti sendiri. saya hanya dianggap sebagai duri dalam daging. Dan akhirnya saya hanya menyebabkan orang-orang di dalam parti berpecah belah."

"Saya juga tidak suka dengan perangai ahli politik. Kebanyakan ahli politik, apabila mereka keluar daripada sesebuah parti, mereka suka mengutuk-ngutuk parti yang telah mereka tinggalkan. Kalau saya masuk politik, saya tidak akan meninggalkan parti tersebut. Saya akan cuba membetulkan parti politik saya dan hanya akan keluar jika disingkirkan dari parti tersebut. Dan kalau saya ditakhdirkan keluar dari parti tersebut, saya tidak akan mengutuk-ngutuk bekas parti saya, kerana mereka pernah menjadi 'keluarga' saya. Saya dididik oleh ustaz-ustaz saya, guru-guru saya... "Apabila kita marah, kenangkanlah kebaikan orang itu kepada kita, dan cubalah ingat keburukan yg pernah kita lakukan kepada orang tersebut.Mustahil di dalam sesuatu perhubungan sesama manusia, tidak pernah ada kebaikan yg dilakukan kepada kita."

Kesimpulannya, saya tidak mahu menjadi ahli parti politik dan tidak sesekali akan menjadi orang politik kerana politik hari ini terlalu kotor. terlalu kejam. Politik hari ini bertentangan dengan prinsip-prinsip hidup yang saya pegang. Tetapi saya akan mengundi dan memilih pemimpin yang paling bersih, yang paling dekat dengan cara politik Nabi Muhammad dan para sahabat. Saya juga akan menyokong kebenaran walaupun ianya datang daripada parti yang tidak pernah saya undi.Saya akan membantu mereka dengan cara saya sendiri asalkan apa yang mereka lakukan memberikan kebaikan kepada Islam dan negara saya.

Akhir kalam, seruan dan nasihat saya...jangan terlalu cepat kita menghukum orang lain hanya kerana kita berbeza pendapat dengan mereka. Jangan kita memaki orang lain dengan panggilan2 yang tidak baik hanya kerana tidak sealiran dengan kita. Mungkin org yang kita katakan tidak baik itu adalah lebih baik daripada kita dari segi amalannya dan hubungannya dengan Allah. Jangan kita menghukum semua orang kerana kesalahan sebahagian daripada orang-orang yang bersama mereka.

Fikir-fikirkan lah. Wassalam Dr fauziah

Dipetik daripada email SIM untuk dikongsikan bersama

F.A.S.T. ;~)