December 26, 2011

NIAT DAN PERANANNYA DALAM BERAMAL

Niat boleh menjadikan sesuatu amalan bernilai dan niat juga boleh menjadikan sesuatu amalan menjadi sia-sia, Betapa besarnya peranan NIAT. Teruskan membaca ;~).

Daripada Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: 'Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda; "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." - [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Niat letaknya dihati. Ianya merupakan 'Lintasan Hati', walaupun begitu, lafas niat di mulut. Dengan demikian, jika nait hanya merupakan lafas di mulut, tidak ada keazaman dan rancangan di hati, maka niat itu belum dikira pahala. Dari sekecil-kecil amalan sehinggalah kepada sebesar-besar amalan, semuanya dinilai oleh Allah swt. berdasarkan apa yang diniatkan (lintasan) dari hati.

Adalah amat malang dan merugikan apabila sesuatu amalan (ibadah) yang dilaksanakan, tetapi tidak di terima Sang Pencipta hanya dek kerana hati tidak ditujukan tulus ikhlas kerana Allah swt lantaran berpunca daripada niat yang salah.

Dalam setiap amalan yang dikerjakan, hendaklah dijaga niatnya. Sedari awal melakukan amalan tersebut, semasa melakukan amalan tersebut hinggalan setelah selesai melakukan amalan tersebut. Jika terdapat sebarang tanda-tanda niat tidak ikhlas kerana Allah swt., maka cepat-cepatlah beristighfar dan perbetulkan semula niat, Jangan sesekali tergelincir daripada matlamat asal, yakni mencari keredzaan Allah, mengerjakan ibadah kerana Allah. Hamba Allah mana yang tidak mahu amal keseluruhannya diterima oleh Allah? Manusia beriman yang mana tidak mahu timbangan mizannya berat kerana ibadah yang diterima oleh Allah? Umat Muhammad yang mana satukah yang tidak berbangga di hari kiamat nanti andai amal-amalnya menjadi asbab untuknya meraih keredzaan Allah dan dengan Rahmat Allah maka dia mendiami syurga Allah? Semua dalam kalangan kita ini pastinya mengimpikan perkara tersebut. Jadi, ikhlas dalam beramal adalah kuncinya!

Setiap kali bila kita hendak melakukan sesuatu kebaikan di dalam amalan seharian,
ingatlah... bahawa pada saat itu kita pasti akan diuji, diganggu gugat oleh syaitan. Memang menjadi kerja Syaitan pada ketika itu sentiasa membisik-bisikkan supaya amal yang di lakukan itu bukan bertujuan untuk mencari redha Ilahi, tetapi untuk mendapatkan balasan daripada manusia, dipuji dan disanjung oleh manusia, yang pada hakikatnya tidak memberatkan walau sedikitpun timbangan mizan kita di hari pengadilan kelak.

Antara Kepentingan dan Fungsi Niat ialah:-

1.MENYEMPURNAKAN
Sempurnanya amal adalah dengan adanya niat. Niat adalah rukun dalam sesuatu ibadah. Tanpa niat, maka tidak sempurna ibadah seseorang itu. Niat hanya kerana Allah swt, Tuhan semesta alam.

2.MENGUBAH
Hanya dengan niat, amal yang baik mampu berubah menjadi buruk. Amal baik menjadi sia-sia dan tidak bernilai (disisi Allah swt), Dengan niat yang betul, Amal yang kecil diganjarkan dengan berlipat ganda.
Sebagai contoh, sedekah itu adalah suatu yang amat baik. Tetapi, sekiranya dilakukan kerana ingin menunjuk-nunjuk pada manusia lain, maka amal itu amat dipandang hina oleh Allah. Tetapi ingat, walaupun dengan niat yang baik, tidak sesekali akan mengubah keburukan menjadi kebaikan. Bak kata orang lama-lama, 'matlamat tidak menghalalkan cara'

3.MEMBEZAKAN
Niat membezakan sesuatu amalan antara adat dan ibadah. Contohnya, sekiranya seseorang itu makan tanpa meniatkan apa-apa, maka makannya itu adalah adat. Tetapi sekiranya makannya itu diniatkan untuk mendapatkan kekuatan untuk melakukan ibadah selepas itu, maka makannya dikira sebagai ibadah kepada Allah.

4.MEMBESARKAN atau MELIPATGANDAKAN
Amal yang kecil, Boleh menjadi besar (disisi Allah)hanya kerana niat. Contohnya, seseorang yang menderma untuk membantu anak yatim dengan belas dan kasih sayang, walaupun menghulurkan bantuan RM 5 dan dia melakukan itu hanyalah semata kerana Allah, maka percayalah, nilai sumbangannya itu adalah amat besar di sisi-Nya.Sebaliknya, seseorang yang menyumbang RM 10 000.00 untuk membina Madrasah dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk, agar orang mengatakan dirinya seorang yang penderma, pemurah dan sebagainya (disanjung orang), maka di sisi Allah sumbangan itu tidak dikira sebagai amalan kebaikan. Ingatlah ! betapa banyaknya amal yang kecil menjadi besar gara-gara niat; dan betapa banyaknya amal yang besar menjadi kecil juga gara-gara niat.

"Katakanlah, Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)". - Al-An'am: 162-163.

Untuk Kita ~ F.A.S.T.