July 03, 2011

JALANILAH HIDUP INI DENGAN BERJAYA DAN BAHAGIA

BERJAYA seperti yang ditakrifkan oleh kamus dewan membawa maksud beroleh kemenangan, mencapai kemajuan atau berhasil; manakala BAHAGIA membawa maksud suasana senang dan aman, aman damai serta gembira. Dua perkara yang bunyinya macam sama tetapi sebenarnya ia tak serupa. Teruskan membaca ;~)

Kepada kebanyakan orang, mengapa agak sukar untuk mengecapi kejayaan dan kebahagiaan sekaligus. Ada orang dapat menjalani kehidupan ini dengan bahagia, walaupun mungkin kehidupannya tidaklah sesenang atau semewah mana. Bak kata 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Tak kurang juga, ramai orang berjaya dari sudut karier atau kerjayanya tapi tidak menikmati bahagia dalam hidupnya. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mendapatkan kedua-duanya sekali (Berjaya dan Bahagia) dalam satu masa. Apa yang penting sedikit pengorbanan yang ikhlas akan membuahkan kejayaan dan kebahagiaan yang indah sekaligus untuk kehidupan yang kita impikan.

Berikut 10 panduan untuk Berjaya dan Bahagia dalam kehidupan.

Panduan 1: Fahami apa yang anda maksudkan dengan Berjaya dan Bahagia.
Setiap orang mendefinasikan berjaya dan bahagia dalam hidupnya dengan cara yang berbeza-beza. Fahami betul-betul apa yang anda sendiri maksudkan dengan Berjaya dan Bahagia. Setelah memahaminya barulah minda akan mudah untuk bertindak. Pemikiran manusia dirangsang dengan perkataan yang boleh dibayangkan dengan objek atau gambaran. Ramai orang tidak berubah bukan kerana mereka tak mahu berubah, tetapi kerana mereka tidak tahu bagaimana nak berubah atau tidak nampak keperluan untuk berubah. Carilah satu matlamat yang besar (masterpiece) yang boleh mencabar keupayaan anda untuk berjaya dan bahagia.

Panduan 2 : Mula kembali, jangan berhenti.
Andai usaha yang kita lakukan belum mencapai kejayaan seperti yang kita harapkan, jangan berhenti setakat itu. Selidik punca mengapa anda hanya mendapat ‘kejayaan yang kecil’ bukannya kegagalan. Mulakan kembali dengan berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang baru. Kalau orang Barat cakap “When things are not going right or you get knocked down, bounce right back again.”. Yang penting bukan berapa kali anda jatuh, tetapi terlebih penting ialah seberapa cepat anda dapat bangkit kembali setelah jatuh. Jangan ada ‘putus asa’ dalam kamus hidup anda, kalau orang lain boleh, Anda juga boleh!

Panduan 3 : Komitmen seratus peratus
Berikan komitmen seratus peratus (sepenuhnya), jiwa dan raga. Kejayaan tidak akan pernah datang bergolek. Ianya perlukan pengorbanan dan kesungguhan. Bagaikan tidak ada dalam diari kejayaan mereka yang berusaha dan memberikan komitmen kurang tetapi boleh mendapat hasil 100%. Rasanya hampir mustahil melainkan kalau mengharapkan tuah yang Allah SWT berikan. Ini bermakna untuk berjaya dan bahagia anda perlu setiap hari memberikan komitmen kepada misi dan visi hidup anda. Berikan sepenuh tumpuan untuk mencapai apa yang anda inginkan. Disamping berusaha secara lahiriah, usaha keatas batiniah (spiritual) juga sangat penting dalam usaha memburu kejayaan dan kebahagiaan.

Panduan 4: Cari jalan penyelesaian, bukan alasan
Lumrah kehidupan, dalam menjalani kehidupan dan membangunkan keria akan berhadapn dengan banyak sekali cabaran dan halangan. Acap kali kita berasa terkeliru adakah tindakan yang kita lakukan itu adakah jalan penyelesaian kepada permasalahan tersebut atau alasan yang akan memburukkan lagi keadaan. Kekadang sukar untuk membezakan penyelesaian atau alasan. Orang yang negatif akan mencari pelbagai alasan, manakala orang yang positif akan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian. Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu alasan. Yakinlah alasan tidak akan membantu untuk menyelesaikan permasalahan yang kita hadapi, ianya menjadi semakin kusut dan keliru. Semakin kita berusaha mencari penyelesaian, semakin kita menghampiri kepada kejayaan.

Panduan 5: Jaga diri anda
Diri kita adalah segalanya. Diri kita adalah anugerah atau harta yang tidak ternilai. Sebab itu paling penting sebelum kita jaga orang lain, jaga diri kita sendiri. Jaga diri anda melalui pengurusan diri, pengurusan masa dan pengurusan tekanan (stres). Jaga kesihatan melalui penjagaan makan minum, rehat dan senaman yang sistematik. Kesihatan adalah amanah yang perlu dijaga dengan sebaiknya. Apabila kesihatan terganggu anda akan tidak dapat melakukan kerja dan juga tidak dapat membina hubungan dengan orang lain. Begitulah apabila anda hilang kerjaya, sudah pasti tidak ada sesiapa yang ingin membina hubungan dengan anda.

Panduan 6 : Bina hubungan baik dengan semua orang
Sifir kejayaan dalam hidup ini ialah dengan membina seberapa banyak jaringan persahabatan yang anda termampu. Lebih banyak lebih bagus. Dalam era dunia tanpa sempadan, jangan hadkan kenalan anda kepada sesuatu tempat atau sesuatu bangsa sahaja. Inilah perkaitan yang tak boleh dipisahkan iaitu ‘Perniagaan adalah kenalan dan kenalan adalah perniagaan’. Bak kata pepatah Melayu “Berkawan biar seribu”. Tidak kira apa jua pofesion yang anda ceburi, semuanya memerlukan hubungan dengan ramai orang untuk berjaya. Begitulah juga jika ingin bahagia. Bina hubungan dengan orang lain sekurang-kurangnya kita dapat memahami dan mempelajari kehidupan orang lain. Ini akan memudahkan untuk kita melayani mereka. Banyak masalah akan selesai jika kita memahami orang lain sebagaimana diri kita ingin difahami. Tidak ada ruginya kalau ramai kawan.

Panduan 7: Keluarkan diri anda dari kegelapan
Keluar dari kegelapan bermakna keluar daripada ‘kejahilan’. keluar mencari cahaya. Caranya ialah dengan mencari ilmu baru. Inilah hakikatnya, dunia terus berputar, teknologi terus berubah. Untuk Berjaya dan bahagia, mahu tak mahu kita mesti kena berubah. Kalau tidak kita akan ketinggalan. Kalau sekadar ketinggalan tidak mengapa lagi, yang lebih teruk ialah kita akan pupus, kewujudan kita tidak diperlukan lagi. Paling kurang pun berusahalah untuk mendapatkan satu ilmu baru atau teknik baru dalam tempoh masa enam bulan. Untuk mengecapi kejayaan, untuk bahagia jangan terlalu terikat dengan pemikiran yang lama. Cubalah sesuatu yang baru, lebih kreatif lebih inovatif agar dapat meransang diri untuk terus membina kejayaan diri, keluarga dan kerjaya.Keluarkan diri dari kegelapan dengan konsep 5M iaitu membaca, menulis, mengira, memikir dan melaksana.

Panduan 8: Jadilah tangan yang di atas
Jadilah insan pemurah, jangan berkira apatahlagi menjadi kedekut. Semakin banyak kita memberi, semakin murahlah rezki kita, lagi berkat kehidupan kita. Kejayaan dan kebahagiaan bukan diukur dengan seberapa banyak kekayaan yang dapat kita kumpul. Tetapi kebahagian akan datang apabila semakin banyak kita dapat kongsikan dengan orang lain harta yang kita ada. Mereka yang pemurah akan mendapat hidup yang berkat. Kita akan mudah mendapat bantuan daripada Allah SWT selagi kita banyak membantu orang lain. Kita mampu untuk membeli tilam yang empuk, namun kita tidak dapat membeli tidur yang nyenyak. Perasaan tenang dan bahagia mula hadir dalam diri kita jika kita mula memberi dan memberi serta terus memberi. Tunaikan hak tanpa kita menuntut hak. Menjadi insan pemurah bukan bererti anda memberi derma beribu-ribu ringgit. Memadailah dengan anda menjadi seorang yang suka membantu orang lain. Jadikan suka membantu sebagai tabiat.

Panduan 9: Ciptakan keseronokkan bekerja
Kita akan dapat mencapai matlamat sepuluh kali ganda lebih cepat jika kita bertindak dengan seronok, ceria dan redza. Andai sudah hilang rasa seronok untuk bekerja sekarang, jangan terus dalam keadaan demikian. Ciptakan apa yang anda perlukan untuk mengembalikan suasana iklim keseronokkan tersebut. Keseronokan kena dibentuk bukan dicari. Jika memang anda memerlukan cabaran yang baru, suasana baru dan rakan kerja yang baru tiada salahnya jika itu semua menuntut anda untuk berhijrah ke tempat kerja yang baru. Jangan kutuk diri, jangan hina diri dengan melakukan sesuatu yang kita tak suka, sesuatu yang membosankan dan mencengkam keseronokan hidup kita. Ingat hidup ini tidak lama, jangan persiakannya dengan sesuatu yang anda memang tidak suka.

Panduan 10 : Lakukan sesuatu dengan sebaik mungkin
Peluang hanya datang sekali, jangan lepaskan peluang yang melintas didepan mata. Umur kita mungkin tidak panjang dan kita mungkin tidak berpeluang untuk mengulangi kebaikan yang pernah kita lakukan sekarang ini. Oleh itu, lakukanlah setiap tindakan dengan cara yang paling baik agar kita tidak menyesali masa yang telah berlalu. Setiap tindakan akan membawa kebaikan (atau keburukan) kepada si pelakunya. Kita yang bertanggung jawap pada setiap apa yang kita lakukan. Perbaiki setiap kelemahan dan kekurangan. Berusahalah untuk menjadi ‘insan kamil’.

" wahai Tuhanku, aku tak layak ke SyurgaMu ... namun tak pula aku sanggup ke NerakaMu. Kamilah hamba yang mengharap belas dariMu. Ya Allah jadikanlah kami hamba2Mu yang bertaqwa. Ampunkan dosa2 kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah pergi menemuiMu. Amin Ya Allah.

F.A.S.T. ;~)